Terjawab sudah semua teka-teki selepas Noor Nabila dan Engku Emran selamat bergelar suami isteri dalam sebuah majlis tertutup yang hanya dihadiri kaum keluarga terdekat pada Jumaat lalu.
Akhirnya lenyaplah semua desas-desus tentang hubungan cinta pasangan itu selepas hampir dua bulan mereka mengunci mulut meskipun sudah dihidu pihak media.
Kata Nabila, tempoh perkenalan mereka sangat singkat dan mula rapat kerana memiliki hobi yang sama seperti sukan berbasikal. Jadi, benarlah bahawa jodoh pertemuan adalah rahsia terindah Allah SWT.
Paling mencuri perhatian ramai ialah kehadiran puteri sulung Engku Emran iaitu Engku Aleesya,12, pada majlis tersebut. Bahagia hati Diva melihat kemesraan keluarga baharu itu.
Bekas suami Nabila, Sharnaaz Ahmad turut tidak ketinggalan menitipkan ucapan buat pasangan mempelai dalam Instagram.
Cuma di sebalik kemeriahan majlis Nabila, terselit komen netizen yang berseloroh: “Adik bertunang, kakak pula yang nikah”.
Ramai mula tertanya bila pula giliran majlis Neelofa dan Haris Ismail.
Jika diikutkan, Neelofa yang dicanang-canang akan berkahwin bulan ini tetapi alih-alih si kakak pula berkahwin dulu.
Diva ada juga dengar yang majlis Neelofa akan diadakan akhir bulan ini. Tetapi tidak beranilah nak cakap lebih sebab itu semua hanya khabar angin.
Kalau tarikh sudah ada, jangan lambat-lambat ya. Sebab ramai yang tidak sabar nak tengok giliran Neelofa pula menjadi raja sehari, mesti cantik pengantin berpurdah.
DIVA: Semoga perkahwinan kali ketiga buat Engku Emran dan Noor Nabila berkekalan hingga ke syurga.