GERIK – Penantian 51 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Bersia dekat sini untuk memiliki geran hak milik tanah sejak 50 tahun lalu berakhir apabila kerajaan negeri menunaikan janji tersebut semalam.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad dalam ucapannya mengingatkan agar semua penerima geran hak milik tanah Felda tidak melepaskannya kepada individu ataupun pihak lain.
Katanya walaupun ada pihak yang cuba membuat tawaran lumayan sehingga bernilai ratusan ribu namun, ianya akan memberi mudarat dalam jangka masa panjang kepada pemilik.
“Kenanglah jasa dan pengorbanan generasi awal yang bekerja keras membanting tulang membangunkan tanah-tanah Felda.
“Saya titipkan nasihat agar tanah-tanah yang dimiliki dijaga baik-baik. Usah dijual untuk dapat untung sementara. Jangan kita biarkan pengorbanan mereka menjadi sia-sia,” ujarnya.
Hadir sama Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Ekonomi) Felda, Mahadzir Mustafa; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor, Salbiah Mohamed dan ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim.
Seorang penerima, Rabayaah Mat Saman, 74, antara generasi pertama yang menduduki felda tersebut bersama allahyarham suaminya pada tahun 1963.
Katanya dia bersyukur atas pemerian geran itu selepas menantikannya lebih puluhan tahun.
“Saya generasi pertama di Felda Bersia. Kini saya sangat bersyukur atas pemberian geran hak milik tanah itu,” katanya.
Perasaan bersyukur dipanjatkan Zainol Ismail, 62, yang merupakan peneroka peringkat kedua.
“Saya menantikan geran ini dalam 20 tahun. Syukur, alhamdulillah. Saya juga berjanji akan menjaga pemberian tanah ini dengan baik,” katanya.
Felda Bersia yang dibuka pada tahun 1960 dan mula menerima peneroka tiga thaun kemudian bagi peringkat satu diikuti 1965 bagi peringkat dua dan peringkat tiga pada 1968 melibatkan seramai 342 keluarga.- K! ONLINE