LABIS – Seorang remaja lelaki cemas apabila tersesat ketika berbasikal bersama empat lagi individu termasuk bapanya di Gunung Tahang Rimau di sini pagi hari ini.
Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Labis, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farizan Mokhtar berkata, remaja berusia 13 tahun itu ditemui pada pukul 8.50 pagi kira-kira dua kilometer daripada laluan utama di Gunung Tahang Rimau di sini.
“Mangsa terpisah dari lima ahli kumpulan berbasikal dan dia berada di belakang sekali. Menurut sumber ahli itu, salah seorang ahli kumpulan adalah bapanya.
“Ahli kumpulan berbasikal itu hanya menyedari kehilangan mangsa sebaik sahaja melihat dia tidak kelihatan ketika berkumpul di lokasi cerun.
“Salah seorang daripada mereka segera menghubungi pihak bomba pada pukul 7.53 pagi dan melaporkan kejadian,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Farizan berkata, sejurus menerima panggilan seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi bagi misi menyelamat mangsa.
“Mangsa mengalami luka kecil dibahagian lengan kiri dan belakang badan kemudiannya diserahkan kepada ahli keluarganya,” katanya.
Ketika ditemui, remaja itu menceritakan bahawa dia telah terjatuh dan tersesat di dalam kebun sawit seluas 1.5 hektar dan menyebabkannya terpisah dari kumpulan berbasikal yang sama-sama beriadah dengannya sejak pagi tadi. -K! ONLINE