SEPANG – Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman akan mengambil alih siasatan terhadap dakwaan beberapa menteri melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) rentas negeri untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan di Seremban, Negeri Sembilan, 14 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihak Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan atau Cawangan D5 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mencadangkan supaya siasatan dibuat pihak D5 Bukit Aman atau pihak polis daerah lokasi majlis itu berlangsung.
“Cadangan dari D5 IPK, USJT Bukit Aman ambil alih dan buka kertas siasatan atau daerah (lokasi majlis berlangsung) buat siasatan sendiri,” katanya.
Semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang telah membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) bagi tujuan memulakan siasatan dan mengambil keterangan penganjur.
Terdahulu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) telah membuat laporan polis mengenai perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 16 Mac disusuli laporan polis di lPD Sepang.
Dalam laporan tersebut menyebut kehadiran beberapa menteri di majlis perkahwinan anak perempuan Ahli Parlimen Jelebu, Jalaluddin Alias di Seremban pada 14 Mac lalu.
Menteri yang dinyatakan Muda termasuklah Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad; Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Ismail Mohamed Said.- K! ONLINE