KUALA LUMPUR – Hasrat Selangor Angels melakar kemenangan tidak kesampaian apabila terpaksa bekerja keras pada lewat permainan untuk mengikat Johor Jewels 50-50 pada aksi pertama Kumpulan B Netball Super League (NSL) di Stadium Juara, Bukit Kiara sebentar tadi.
Pasukan kendalian Rosnani Ismail itu gagal menyesuaikan diri dengan tempo permainan pantas Johor Jewels pada awal permainan sebelum kembali menemui rentak sebenar untuk menamatkan suku masa pertama dengan keputusan 11-11.
An Najwa Azizan membuktikan statusnya sebagai penyerang kebangsaan apabila berjaya memenangi bola demi bola untuk menghasilkan jaringan bagi memastikan Selangor Angels mendahului 29-20 pada suku masa kedua.
Kekuatan fizikal dan ketinggian dimiliki penyerang berusia 24 tahun itu yang pernah beraksi dengan kelab Australia, Greater Western Sydney, memainkan peranan penting dalam setiap serangan Selangor Angels.
Ia terbukti apabila gandingan An Najwa dengan seorang lagi penyerang kebangsaan, Karishma S. Loganathan membolehkan Selangor Angels terus mendominasi permainan dengan kelebihan jaringan 40-30 ke atas Johor Jewels dalam suku masa ketiga.
Biarpun Johor Jewles mempunyai nama-nama besar antaranya Nurfariha Abdul Razak, Pow Mei Foong dan Noor Azilah Aziz, namun banyak serangan direncanakan skuad bimbingan Fazira Mesnan itu dapat dipatahkan benteng pertahanan Selangor Angels.
Begitupun, kesungguhan tinggi ditunjukkan kesemua unit Johor Jewels pada suku masa terakhir menuai hasil lumayan apabila berjaya menyamakan kedudukan 45-45 sebelum mendahului Selangor Angels 50-49 ketika aksi berbaki 20 saat sahaja lagi.
Bagaimanapun, An Najwa menyelamatkan maruah Selangor Angels dengan jaringan penyamaan menjadikan kedudukan 50-50 beberapa saat sebelum tamat perlawanan. – K! ONLINE