PUTRAJAYA – Malaysia menyatakan sokongan terhadap seruan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) untuk mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN darurat bagi menangani situasi tegang di Myanmar ketika ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan perbincangan secara terbuka, ikhlas dan jujur itu dapat meningkatkan peranan ASEAN untuk membantu Myanmar dalam mencari jalan keluar daripada krisis tersebut dengan cepat.
“Saya sangat menyokong kenyataan Jokowi hari ini (semalam) dan seruannya untuk mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN darurat bagi mengatasi keadaan di Myanmar.
“Kita di Malaysia dan komuniti ASEAN yang besar tidak mampu melihat negara jiran ini dalam keadaan tidak stabil di tangan beberapa individu tertentu yang berusaha untuk mempromosikan kepentingan mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata, Malaysia juga menggesa pembebasan segera tanpa syarat pemimpin politik negara itu termasuk Presidennya, U Win Myint dan Kaunselor, Aung San Suu Kyi yang ditahan sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari lalu.
Beliau berkata, keadaan itu jelas bertentangan dengan prinsip yang termaktub dalam Piagam ASEAN yang mana negara-negara ahli telah menyatakan komitmen untuk mempromosi dan melindunginya agar keamanan, keselamatan dan kemakmuran di rantau ini terjamin.
“Amat jelas bahawa krisis politik terkini di Myanmar hanya mengeruhkan keadaan di negara mengakibatkan rakyat menjadi mangsa keadaan,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, kepimpinan junta tentera di Myanmar digesa untuk mengubah haluan dan memilih jalan penyelesaian yang aman.
Ini kerana, katanya, tindakan ganas hanya menimbulkan keganasan dan masa depan negara itu mungkin tergadai sehingga terjerumus ke lembah kehancuran yang tidak dapat dipulihkan.
“Saya terkejut dengan penggunaan kekerasan secara berterusan terhadap orang awam yang mengakibatkan sejumlah besar kematian dan kecederaan serta penderitaan di seluruh negara.
“Penggunaan peluru hidup terhadap penunjuk perasaan secara aman tidak dapat diterima dan keadaan ini mesti dihentikan dengan kadar segera,” katanya.
Dalam pada itu, mewakili seluruh rakyat Malaysia, Perdana Menteri menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada semua rakyat Myanmar yang kehilangan orang tersayang dan yang menjadi mangsa krisis politik itu.
Beliau berkata, Malaysia sekali lagi mengulangi seruan untuk semua pihak yang berkepentingan bekerjasama ke arah penyelesaian krisis ini secara aman.
“Kami akan terus mendukung dialog inklusif untuk peralihan politik, dan mendesak semua pihak untuk kembali ke meja rundingan bagi memperbaiki krisis dan menghindari sebarang ketegangan,” katanya. – K! ONLINE