STATUS selaku pilihan utama kejohanan sememangnya berhak menjadi milik Kuala Lumpur (KL) Wildcats apabila pamer kelas tersendiri membelasah Melaka Mystic 91-13 pada aksi pertama Kumpulan A Netball Super League (NSL) semalam.
Pengalaman luas barisan pemain KL Wildcats yang pernah beraksi di pentas antarabangsa bersama skuad senior merupakan perbezaan utama antara kedua-dua pasukan.
Ia terbukti apabila KL Wildcats berjaya mendahului Melaka 28-1 pada suku masa pertama di Stadium Juara, Bukit Kiara menerusi ketajaman goalshooter (GS) berusia 20 tahun, Puteri Intan Balqis Ahmad Dzulkefli.
Kecemerlangan prestasi itu sudah dijangka kerana Puteri Intan adalah salah seorang bintang remaja kebangsaan yang menjuarai Bola Jaring Remaja Asia 2019 di Kashima, Jepun.
“Kelebihan kami dari segi fizikal dan semua pemain memang bersedia untuk aksi ini. Saya juga gembira kerana dapat menjalankan tugas menghasilkan jaringan buat pasukan,” kata Puteri Intan Balqis.
Kemasukan Noramirah Dayana Noor Azhar memperlihatkan lagi kehebatan KL Wildcats yang terus mendominasi permainan menerusi jumlah jaringan 48-3 pada suku kedua sebelum menambah derita Melaka dengan keputusan 68-7 dalam suku masa ketiga.
Pujian juga harus diberikan kepada bahagian pertahanan KL Wildcats diketuai kapten, Nur Syafazliana Mohd. Ali dan Nur Fatin Hadirah Abdul Hamid menyukarkan tugas jentera serangan Melaka untuk menghasilkan jaringan sepanjang 60 minit permainan.