MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican melahirkan harapan tinggi terhadap penganjuran edisi sulung Netball Super League (NSL) 2021 yang membuka tirai secara rasmi di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Reezal Merican berkata, inisiatif daripada Persatuan Bola Jaring Kebangsaan (PBJM) itu memberi nafas baharu kepada arena bola jaring dan secara tidak langsung membantu pembangunan sukan wanita di Malaysia.
“Saya percaya pembabitan golongan wanita dalam sukan akan bertambah meriah dengan adanya liga kompetitif dan berkualiti seperti ini. Ia mampu menyumbang kepada kemasyhuran nama Malaysia di mata dunia.
“Penganjuran ini juga sebenarnya meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara yang berada di ranking tertinggi bola jaring dunia seperti Australia, New Zealand, United Kingdom dan Jamaica.
“Justeru, saya berharap NSL 2021 menjadi titik permulaan sukan ini dalam memberi pendedahan dan pengalaman kepada semua pemain selain mengetengahkan bakat-bakat muda,” katanya selepas merasmikan NSL 2021 di Stadium Juara semalam.
Sementara itu, Presiden PBJM, Alwiyah Talib menyifatkan NSL 2021 adalah platform terbaik untuk golongan wanita menonjolkan bakat mereka selain memberi kesemarataaan peluang mengambil bahagian dalam acara sukan.
“Sudah tiba masanya kita mempunyai liga sendiri jika ingin melihat sukan ini berkembang lebih jauh. Saya berharap penganjuran NSL dapat meniup kembali semangat dan prestasi skuad kebangsaan selepas ini,” jelasnya.
Sebagai rekod, lapan pasukan beraksi pada penganjuran edisi pertama bermula semalam hingga 11 April depan dengan format permainan peringkat kumpulan secara round robin, separuh akhir dan seterusnya final.
Kumpulan A terdiri daripada pilihan utama kejohanan, Kuala Lumpur Wildcats, Perak Phoenix, Melaka Mystic dan Kedah Sunshine manakala Johor Jewels, Selangor Angels, Pahang Tulips serta Negeri Sembilan Venom diundi dalam Kumpulan B.