LIPIS – Penduduk Pekan Benta di sini gempar selepas air Sungai Lipis yang sebelum ini jernih bertukar menjadi warna ‘oren’ pada Rabu lalu.
Bagaimanapun, kejadian misteri itu hanya berlaku dalam tempoh 12 jam sebelum ia kembali jernih semula pada Khamis lalu sekaligus menimbulkan persoalan kepada penduduk kawasan berkenaan.
Malah, kejadian yang pertama kali berlaku itu turut menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk memandangkan air sungai berkenaan merupakan sumber air bersih.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Ahmad berkata, kejadian itu merisaukan mereka dan rata-ratanya bimbang sekiranya air sungai berkenaan tercemar dan mempunyai logam berat.
“Saya terkejut dengan keadaan air sungai itu yang bertukar warna dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Sungai ini menjadi sumber air paip penduduk.
“Rata-rata penduduk mendakwa air sungai itu bertukar ekoran aktiviti perlombongan atau pun ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah melepaskan sisa air kotor ke dalam sungai itu,” katanya di sini semalam.
Sehubungan itu, dia berharap pihak berkuasa dapat mencari punca kejadian itu bagi mengelakkan ia berulang sekaligus memastikan tahap keselamatan air sungai itu terjamin.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, Datuk Seri Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, sehingga kini beliau tidak mendapat maklumat mengenai punca kejadian yang mengejutkan penduduk itu.
Jelasnya, berdasarkan laporan diterima, kejadian itu berlaku pada Rabu lalu sebelum air sungai tersebut kembali jernih pada Khamis.
“Pada hari Rabu, kadar tingkat kekeruhan air (NTU) ialah 455, manakala semalam (Khamis) ia telah kembali jernih dengan kadar NTU 43.
“Setakat ini operasi Loji Rawatan Air (LRA) masih berjalan kerana jika NTU lebih daripada 1,000 barulah LRA akan dihentikan operasi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Mohd. Sani Mat Daud berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran mengenai kejadian itu dan siasatan dilakukan bagi mengenal pasti punca kekeruhan air.