LONDON – Masa depan Jose Mourinho sebagai pengurus Tottenham Hotspur dilihat semakin membimbangkan selepas tersingkir seawal pusingan 16 pasukan terbaik Liga Europa musim ini dengan kekalahan agregat 2-3 kepada wakil Croatia, Dinamo Zagreb.
Spurs gagal mempertahankan kelebihan menang 2-0 di London sewaktu perlawanan pertama minggu lalu apabila tewas mengejut 0-3 kepada Dinamo menerusi ledakan hatrik Mislav Orsic pada aksi timbal balik di Stadium Maksimir awal pagi semalam.
Bagaimanapun, Mourinho, 58, lebih berminat menuding jari kepada pasukannya berbanding memikul tanggungjawab terhadap prestasi mengecewakan skuad bimbingannya.
“Saya dapat melihat dengan jelas pasukan saya tidak mengambil serius perlawanan ini. Saya sedih dengan sikap pemain saya berbanding Dinamo yang masih merendah diri dalam usaha mencari kemenangan.
“Bola sepak bukan hanya mengenai pemain yang berasakan mereka memiliki lebih kualiti berbanding yang lain. Asas kepada bola sepak adalah sikap dan Dinamo menewaskan kami disebabkan aspek tersebut,” katanya.
Lebih malang, ia adalah kekalahan kedua berturut-turut buat Spurs selepas terdahulu diaibkan jiran setempat, Arsenal 1-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi Isnin lalu.
Ia sekali gus menaikkan kemarahan penyokong-penyokong setia Spurs yang sudah hilang sabar dengan alasan demi alasan daripada Mourinho dan mendesak pengurusan pasukan itu agar memecat pengendali dari Portugal tersebut.
Apa yang pasti, ‘kerusi’ Mourinho akan bertambah panas sekiranya Spurs tewas buat kali ketiga berturut-turut menjelang aksi EPL seterusnya menentang Aston Villa di Stadium Villa Park pada Isnin ini. – AGENSI