fbpx

Lelaki rugi RM600,000 ditipu peguam wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Gara-gara mahu mengejar keuntungan atas angin, seorang lelaki mengalami kerugian RM600,000 selepas diperdaya seorang peguam wanita dalam pelaburan pembelian rumah yang tidak wujud dalam kejadian September 2015 lalu.

Mangsa yang berusia 53 tahun itu dijanjikan bakal memperoleh pulangan serta keuntungan yang lumayan sehingga RM900,000 bagi empat buah rumah yang dibelinya jika rumah tersebut berjaya dijual kepada pemilik yang baru.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, mangsa memaklumkan suspek wanita berusia 51 tahun itu menawarkan dia membeli sebuah rumah pada harga RM150,000.

“Rumah tersebut kemudiannya akan dijual pada harga RM180,000 bagi setiap unit sekaligus membolehkan mangsa mengaut keuntungan.

“Mangsa dikatakan telah berbincang dan bersetuju dengan tawaran yang diberikan lalu menyerahkan wang berjumlah RM600,000 kepada wanita itu enam tahun lalu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, suspek turut berjanji akan mengembalikan semua wang mangsa sepenuhnya jika jualan rumah tidak berjaya.

“Bagaimanapun enam bulan kemudian, mangsa menyedari dia ditipu selepas terbaca berita di akhbar berkenaan suspek yang didakwa di Mahkamah Petaling Jaya atas kesalahan menjual rumah yang tidak wujud.

“Berikutan itu, mangsa meminta suspek mengembalikan semula wang miliknya bagaimanapun suspek gagal berbuat demikian,” ujarnya.

Justeru itu, katanya, bertindak atas maklumat, sekitar pukul 8 pagi semalam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) telah menahan suspek di pekarangan Pejabat BSJK.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Jalan Duta untuk pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagaimanapun suspek tidak mengaku bersalah dan diberi jamin mahkamah sebanyak RM7,000.

“Semakan rekod mendapati suspek turut mempunyai lima rekod lampau di daerah ini dan kesemuanya berjaya dituduh di mahkamah dan sedang dalam perbicaraan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI