PASIR MAS – Seorang lelaki yang sudah 20 tahun menghisap dadah jenis heroin antara 60 orang penagih yang dicekup polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan dalam Ops Tapis di sekitar daerah ini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, berdasarkan soal siasat, lelaki berusia 52 tahun itu mengaku telah mengambil dadah jenis tersebut sejak dua dekad lalu.
“Sepanjang tempoh itu, ini kali kedua dia ditahan oleh polis ketika sedang khayal ekoran menghisap dadah.
“Selain itu, kita turut menahan 10 orang suspek yang dipercayai berulang berusia antara 25 hingga 40 tahun dalam operasi tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.
Menurut Sheik Azhar, dalam operasi yang dijalankan bermula petang semalam sehingga awal pagi tadi itu, polis turut berjaya merampas 270 biji pil kuda.
Katanya, semua suspek ditahan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.-K!ONLINE