IPOH – Peranan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) kini diletakkan sepenuhnya di bawah kawalan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai langkah memperkemas dan memperkasa fungsi agensi tersebut.
Perkara tersebut telah diputuskan oleh Kabinet untuk meletakkan tanggungjawab agensi ini di bawah kuasa pemerintahan terus Ketua Polis Negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan tersebut diambil setelah melihat situasi semasa bagi memastikan penugasan kawalan di sempadan diperbaiki.
Jelas beliau, AKSEM akan diletakkan di bawah PDRM dengan bidang kuasa Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam (KDNKA).
“Untuk itu jawatan Pengarah JKDNKA dinaikkan satu gred lebih tinggi bagi menyesuaikan jabatan ini diperintah pegawai yang lebih kanan
“Ini adalah penyusuan semula agensi tersebut tanpa melakukan perubahan besar setelah melihat keadaan semasa untuk disesuaikan dengan penugasan sedia ada,” katanya pada Program Prihatin Malaysia di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pagi tadi.
Mengulas lanjut kata Hamzah, ketika ini fasa penyusunan AKSEM sedang dilakukan oleh PDRM termasuk melihat pasukan-pasukan mana yang sesuai untuk diletakkan.
“Misalnya jika perlu letakkan batalion khusus Pasukan Gerakan Am (PGA) termasuk di Semenanjung dan Sabah Sarawak untuk memperkemas kawalan sempadan.
“Jadi AKSEM tak perlu ambil tenaga kerja lain sebab tenaga kerja dalam PDRM boleh diguna sepenuhnya termasuklah perolehan peralatan berteknologi terkini untuk tugasan di sempadan.
“Sebelum ini PDRM tidak mempunyai kekangan untuk mengambil alih tugas agensi tersebut tetapi kini PDRM telah mempunyai kemampuan dan anggota yang mencukupi,” jelasnya lagi.
Ketika ini AKSEM diketuai pegawai kanan berpangkat Ketua Pengarah dengan kekuatan kira-kira 10,800 pegawai dan anggota.-K!ONLINE