SEBERANG PERAI – Dua beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan mendera amah warga Kemboja pada bulan lalu.
Tertuduh, Teoh Beng Sim, 57, dan anaknya, Teh Hooi Fung, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof dalam bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan, Beng Sim dan Hooi Fung secara bersama memperdagangkan Soy Rom, 27, bagi maksud eksploitasi pengabdian dengan cara kekerasan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di No. 20, Jalan Perpaduan Kampung Baru, Bukit Mertajam di sini kira-kita pukul 10.45 malam pada 24 Februari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara di antara tiga tahun sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk K.P. Supramaniam.
Mahkamah turut membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM15,000 beserta seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 15 haribulan sehingga kes selesai.
Kes akan disebut semula pada 19 April depan.
Mengikut fakta kes, polis menemui pembantu rumah warga Kemboja itu di atas lantai di dalam bilik dan menemui kesan kecederaan pada beberapa bahagian badan mangsa.
Mangsa turut mengadu didera dengan cara dipukul, disimbah air panas dan dicubit – K! ONLINE