fbpx

Rumah pusaka 100 tahun rosak teruk dilanggar kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZOLKPLE Mohd. Nor Affandi menunjukkan struktur rumah pusaka hampir 100 tahun miliknya yang rosak teruk akibat dilanggar sebuah kereta dalam kejadian kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Ampangan, Seremban, semalam.

SEREMBAN – Struktur sebuah rumah pusaka tradisional Melayu yang berusia hampir 100 tahun di sini rosak teruk apabila bahagian serambinya runtuh selepas dilanggar sebuah kereta dalam satu kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah, Ampangan dekat sini kelmarin.

Pemilik rumah berkenaan, Zolkple Mohd. Nor Affandi, 59, berkata, dia bernasib baik kerana ketika kejadian tersebut dia dan keluarga tidak berada di rumah kerana keluar bekerja.

“Saya hanya dimaklumkan tentang kejadian oleh anak saya apabila ada kawannya yang menghubunginya memberitahu rumah kami telah dilanggar dengan sebuah kereta. Ketika itu, saya berada di Tampin.

“Selepas selesai urusan, saya sampai di rumah pada pukul 10 malam. Saya seakan tidak percaya melihat rumah peninggalan keluarga hampir runtuh malah pagar yang baru sahaja siap pagi semalam juga runtuh,” katanya ketika ditemui semalam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, kejadian tersebut belaku kira-kira pukul 8.05 malam apabila seorang lelaki yang memandu sebuah kereta jenis BMW dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan dan melanggar sebuah rumah yang berada di Jalan Seremban-Kuala Pilah.

Menurut beliau, lelaki berusia 46 tahun itu datang dari arah Jalan Jelebu menuju ke arah Rasah Jaya dan memandu secara seorang diri dan akibat pelanggaran itu dia mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, menurut Zolkple, dia telah menjaga rumah berkenaan sejak kecil dan menganggap kejadian itu sebagai takdir selain tetap mahu membina semula rumah berkenaan.

“Tentunya sedih dan terkilan namun saya anggap takdir rumah itu rosak dan hampir runtuh. Kami sekeluarga bernasib baik kerana selamat dan berharap mendapat ganti rugi untuk membaik pulih semula rumah berkenaan.

“Rumah pusaka adalah tempat berkumpul kami satu keluarga seramai 200 orang setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri, pastinya ia amat sentimental dan ruang yang dilanggar itu tempat kami menonton televisyen bersama-sama. Kami juga berhasrat mengadakan kenduri doa selamat di rumah itu pada 27 Mac ini,” katanya.

Dia turut memaklumkan, struktur rumah yang runtuh tersebut adalah bahagian serambi yang turut menempatkan sebuah loteng.

“Disebabkan pelanggaran itu, sebuah bilik juga rosak malah saya dapati rumah ini sudah beralih sebanyak dua meter selain terdapat barangan dalam rumah yang rosak seperti sofa dan kabinet hiasan. Kerosakan lain tidak dapat dikenali pasti lagi kerana kami sekeluarga tidak dibenarkan naik ke rumah tersebut.

“Memang terkilan kerana rumah ini dibina menggunakan kayu lama, hanya menggunakan selak dan tidak menggunakan paku langsung dalam struktur di ruang serambi berkenaan. Jika boleh saya mahu mencari tukang yang mahir untuk membaik pulih rumah ini,” katanya.

Jelasnya, sebanyak RM200,000 dianggarkan jumlah yang diperlukan untuk membaik pulih semula struktur rumah itu kepada asal.-K!ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI