KAPTEN Kuala Lumpur (KL) Wildcats, Nur Syafazliana Mohd Ali enggan menganggap status pasukannya yang dilabel antara gergasi bola jaring negara sebagai jaminan meraih kemenangan mudah.
Sebaliknya, Syafazliana, 28, menegaskan, mereka masih perlu memberikan permainan terbaik bagi memantapkan aksi KL Wildcats menjelang aksi pertama Kumpulan A saingan Netball Super League (NSL) menentang Melaka Mystic hari ini.
Pada masa sama, Syafazliana yang juga kapten skuad kebangsaan, menggesa rakan-rakan sepasukannya agar tidak melakukan banyak kesilapan mudah pada aksi yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur itu.
“Kami sudah bersedia untuk berhadapan Melaka dengan persediaan latihan yang kami sudah lalui ketika ini. Sasaran perlawanan esok (hari ini) adalah memantapkan lagi corak perlawanan KL Wildcats.
“Saya anggap peluang sama rata antara kedua-dua pasukan. Siapa yang kurang melakukan kesilapan akan memenangi perlawanan esok (hari ini).
“Ini kerana kita tidak boleh jangka apa yang akan berlaku dalam gelanggang nanti, mungkin Melaka juga ada kejutan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Atas kertas, KL Wildcats dilihat sebagai pilihan utama untuk memenangi edisi pertama NSL berdasarkan kemampuan barisan pemain yang pernah merasai pengalaman beraksi di pentas antarabangsa bersama skuad kebangsaan.
Selain Syafazliana, KL Wildcats turut diperkuatkan dengan goalkeeper kebangsaan, Noramirah Dayana Noor Azhar yang pernah meraih pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Manila 2019.