SHAH ALAM – Koperasi Perdana MyPolyCC (MyPolyCC) akan diwujudkan di politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara selewat-lewatnya bulan depan.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman berkata, penubuhan koperasi khas itu bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar.
Menurutnya, MyPolyCC akan menjadi platform kepada pelajar di institusi tersebut untuk memasarkan produk inovasi masing-masing ke peringkat lebih tinggi.
“Kita menyedari ramai pelajar memiliki bakat menjadi usahawan namun berdepan kekangan mengkomersialkannya di pasaran lebih kompetitif.
“Koperasi ini melibatkan 36 politeknik dan 104 kolej komuniti dan kita hanya menunggu proses kelulusan pendaftaran MyPolyCC itu daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Jika semua berjalan lancar, April depan kita lancarkan koperasi ini,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan majlis pra pelancaran Universiti Teknologi Mara Unicorn Scholar Programme (UiTM USP) serta menyerahkan sijil kepada 10 daripada 30 penuntut UiTM yang terpilih menyertai program khas berkenaan.
Mengulas mengenai UiTM USP, beliau menegaskan inisiatif berkenaan bertepatan dengan usaha berterusan KPT dalam memperkasakan agenda keusahawanan kepada pelajar.
“Program seumpama itu dilihat menjurus ke arah kerjasama jitu antara universiti, industri dan masyarakat.
“Selain jalinan kolaborasi bersama industri, UiTM USP dapat mewujudkan sistem sokongan perniagaan dsn membuka peluang pekerjaan kepada pelajar,” katanya. -K!ONLINE