KEHADIRAN pendatang baharu, pasukan Tuneboss-Racing Pink dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia tahun ini pastinya memeriahkan lagi penganjurannya.
Apa tidaknya, Pink Racing dianggap unik apabila dimiliki sepenuhnya oleh Atikah Azwar yang merupakan pemilik wanita termuda pertama dalam sejarah Cub Prix.
Selain itu, pasukan tersebut akan mempertaruhkan penggunaan Unit Kawalan Elektronik (ECU) wireless (tanpa wayar) yang dikeluarkan penaja utama, Tuneboss.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tuneboss, Farhan Mohamed Ali berkata, mereka mahu menggunakan saingan Cub Prix sebagai platform untuk memasarkan ECU wireless pertama di dunia itu.
“Ya, memang ini adalah ECU wireless pertama di dunia yang boleh dikawal menggunakan telefon pintar. Ia lebih mudah untuk diselaraskan kerana tidak perlu menyambung banyak wayar seperti biasa.
“Kami anggap penglibatan dalam Cub Prix sebagai pentas untuk pemasaran. Memandangkan ini adalah musim pertama, kami hanya mahu tengok peningkatan pasukan dalam setiap perlumbaan,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau turut menjelaskan, produk ECU Tuneboss itu sudah menarik perhatian pengeluar-pengeluar lain untuk menghasilkan produk sama yang berkonsepkan wireless.
Bagaimanapun, Farhan menegaskan, produk ECU mereka itu masih selamat memandangkan tidak ada sesiapa yang boleh meniru unit elektronik berkenaan 100 peratus.
“Mereka hanya boleh tiru reka bentuk sahaja, namun perisian memang kita jaga sebaik-baiknya. Saya fikir kami sudah berada di landasan tepat apabila orang lain mula meniru ECU kami,” ujarnya lagi.