MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mendedahkan perancangan untuk menggunakan semula khidmat Diogo Dalot musim depan selepas bek kanan itu tamat perjanjian pinjaman dengan AC Milan.
Dalot menyertai United daripada Porto dengan yuran perpindahan bernilai £19 juta (RM109 juta) tiga tahun lalu, namun gagal menyerlah dengan salah satu sebab utama adalah sering mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, penghijrahan Dalot ke Milan secara pinjaman sejak Oktober tahun lalu menyaksikan pemain dari Braga, Portugal itu kembali menikmati permainan terbaiknya.
“Dalot tidak bernasib baik di Old Trafford apabila sering mengalami kecederaan. Jadi, kami mengambil keputusan untuk meminjamkan khidmatnya ke Milan supaya dia dapat bermain banyak perlawanan di sana.
“Sudah tentu saya gembira dengan perkembangan yang ditunjukkan Dalot sepanjang musim ini. Dia masih salah seorang pemain United dan kami mahukan khidmatnya semula musim depan,” kata Solskjaer.
Sebagai rekod, Dalot cuma membuat 35 penampilan dalam semua kejohanan sepanjang dua musim bersama The Red Devils.
Bagaimanapun, pemain berusia 22 tahun itu kini menjadi antara watak penting buat Milan apabila sudah diturunkan 17 kali dalam kesebelasan utama The Rossonerri daripada 22 perlawanan musim ini.
Kehadiran Dalot juga menyaksikan benteng pertahanan Milan hanya melepaskan 31 gol, iaitu pasukan keempat paling kurang bolos dalam saingan Serie A musim ini. – AGENSI