SUNGAI PETANI – Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun 11 bulan yang meninggal dunia selepas tertinggal selama empat jam dalam kereta di Taman Ria di sini pada Selasa lalu disahkan mengalami strok haba.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, bedah siasat ke atas Muhammad Harraz Aryan Mohd. Hafizi yang dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar kelmarin mendapati ada simptom strok haba pada mangsa.
“Ketika ditemui pada pukul 12.15 tengah hari kelmarin (Selasa), mangsa masih bernyawa, namun lemah dan disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.
“Keadaan cuaca panas yang melampau pada ketika ini dengan tiada pengudaraan yang sempurna di dalam kereta menyebabkan kanak-kanak itu mengalami strok haba,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, beberapa sampel diambil pada badan mangsa untuk dianalisis bagi mengetahui punca sebenar kematian.
“Siasatan masih diteruskan termasuk merakam keterangan guru di tadika, namun setakat ini kejadian dipercayai akibat kecuaian bukannya sebab lain,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan mangsa meninggal dunia selepas tertinggal selama empat jam di dalam kereta milik.
Mangsa ditemui terbaring tidak sedarkan diri di kerusi belakang Proton Waja milik pengetua tadika pada pukul 12.15 tengah hari.
Mangsa yang dijemput wanita itu ditinggalkan dari pukul 8 pagi hingga pukul 12.15 tengah hari. Kejadian hanya disedari selepas pengetua itu mahu menghantar mangsa pulang.