DOHA – Pasukan Red Bull KTM Factory Racing Team mengakui tugas mereka tahun ini untuk memburu podium pada perlumbaan pembukaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Qatar pasti sukar selepas melihat prestasi memukau Ducati pada sesi ujian rasmi minggu lalu.
Jack Miller melakar rekod baharu sepusingan terpantas di Litar Antarabangsa Losail dengan kelajuan 357 kilometer sejam (km/j) di laluan lurus sekali gus dilihat bakal memberi kesukaran kepada semua pasukan untuk mengejar jentera Desmosedici tersebut.
Untuk rekod, Ducati melakar kemenangan berturut-turut pada musim 2019 dan 2020 menerusi bekas pelumba berpengalamannya, Andrea Dovizioso.
“Saya percaya bahawa semua pasukan pengeluar akan melakukan kejutan pada perlumbaan pembukaan nanti. Kita akui Ducati telah meraih banyak kemenangan di Qatar tetapi perlu diingat kita juga tidak boleh memandang rendah keupayaan pasukan Yamaha serta Suzuki.
“Pada waktu ini, kami tidak boleh meletakkan sebarang sasaran dan fokus pasukan adalah mencari pelarasan yang lebih sempurna untuk memastikan jentera mampu beroperasi dengan lebih sempurna,” kata pengarah perlumbaan KTM, Mike Leitner.
Pada sesi ujian selama empat hari tersebut, pasukan KTM dilihat sukar untuk mendapatkan catatan terbaik mereka selepas Miguel Olivera dan Brad Binder sekadar menghuni tempat ke-16 serta ke-17.
“Kami akui ia bukan permulaan terbaik bagi KTM, tetapi perkara utama adalah pasukan memperoleh data positif untuk mendapatkan pelarasan sempurna,” ujarnya. – AGENSI