BALIK PULAU – Lebih 50 peniaga di Pasar Awam Balik Pulau merayu kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) supaya merobohkan penghadang konkrit yang dipasang di pintu-pintu masuk pasar itu kerana didakwa mengganggu urusan pemunggahan barangan.
Bukan itu sahaja, peniaga mendakwa MBPP telah menutup banyak laluan sejak tiga minggu lalu dan hanya membuka satu pintu di belakang pasar untuk dijadikan tempat pemunggahan.
Lebih menyukarkan, penghadang konkrit itu turut dipasang di pintu-pintu masuk sehingga menyukarkan proses pemunggahan barangan segar seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran ke tapak berniaga yang disediakan.
Seorang peniaga ayam, Tan Soik Kwong, 55, berkata, situasi itu telah menyukarkan mereka mengangkut barangan daripada lori dan kenderaan masing-masing.
“Sebelum ini semuanya mudah untuk angkut barang tetapi sejak penghadang konkrit dipasang dan hanya satu pintu dibuka, kerja memunggah menjadi sukar.
“Kami terpaksa angkut barang menaiki tangga. Kami semua bukan muda lagi dan tenaga sudah tak kuat untuk angkut barang setiap hari,” katanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, dahulu dia boleh sorong ayam menggunakan troli dan sekarang terpaksa meminta tolong rakan kerana tindakan MBPP itu.
Menurut Soik Kwong, dia berharap kemudahan itu dikembalikan semula dan tidak diletakkan penghadang konkrit di pintu-pintu masuk pasar.
Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Shah berkata, dia telah mengutarakan masalah itu kepada MBPP sebaik menerima aduan daripada peniaga.
“Barang yang hendak diangkut lebih daripada 10 atau 20 kilogram. Jadi MBPP tidak boleh halang laluan masuk dengan penghadang konkrit,” katanya.