MIAMI, Florida – Seorang bayi di Amerika Syarikat dilahirkan memiliki antibodi Covid-19 selepas ibunya menerima suntikan vaksin koronavirus ketika sarat mengandung.
Ia sekali gus menjadikannya bayi pertama di dunia dilahirkan dengan antibodi koronavirus.
Wanita tersebut yang merupakan pekerja barisan hadapan, menerima dos vaksin Covid-19 Moderna pertamanya ketika hamil 36 minggu.
Sejurus selepas dia melahirkan bayinya tiga minggu kemudian di Daerah Palm Beach pada Januari lepas, pasukan perubatan telah mengambil sampel darah daripada tali pusat bayi tersebut.
“Kami memeriksa tali pusat bayi tersebut untuk melihat sama ada antibodi ibunya dipindahkan kepadanya, sesuatu yang sering berlaku jika vaksin lain diberikan ketika seorang wanita itu hamil,” jelas seorang doktor,Paul Gilbert.
Hasil ujian darah mengesahkan bayi tersebut lahir dengan antibodi Covid-19.
“Setahu kami, ini merupakan kejadian pertama di dunia, di mana seorang bayi dilahirkan dengan antibodi selepas divaksin,” tambah Gilbert.
Gilbert dan rakan sepasukannya, Dr. Chad Rudnick membentangkan penemuan mereka dalam satu kertas kerja yang belum disemak oleh penyelidik-penyelidik lain.
Menurut mereka, lebih banyak kajian perlu dijalankan untuk menentukan sama ada antibodi mampu melindungi bayi yang baru lahir.
“Kami menggesa para penyelidik lain untuk mewujudkan daftar kehamilan dan penyusuan susu ibu selain melakukan kajian keberkesanan dan keselamatan vaksin Covid-19 terhadap wanita hamil dan menyusu serta anak mereka,” katanya. – Agensi