KUALA LUMPUR- Orang ramai yang ingin pulang ke kampung pada hari raya Aidiladha boleh merujuk kepada Jadual Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) untuk kelancaran perjalanan.
Menurut jadual itu, pengguna lebuh raya dari Kuala Lumpur dan Selangor menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.
“Pengguna yang menuju kelain-lain negeri disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 2 petang bermula hari ini sehingga 30 Julai 2020.
“Bagi perjalanan pulang semula ke Lembah Klang di antara 1 hingga 3 Ogos, jadual TTA menyarankan agar semua pengguna lebuh raya dari semua negeri memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi,” menurut kenyataan itu.
Ketua Operasi Kecemerlangan PLUS, Mohd. Yusuf Abdul Aziz berkata, pihaknya turut menjangkakan pertambahan trafik sebanyak 30 peratus atau 1.7 juta kenderaan
akan menggunakan semua lebuh raya kendalian PLUS termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2, berbanding 1.2 juta kenderaan pada hari-hari biasa. -K! ONLINE