MELAKA – Syarikat hartanah terkemuka, Sheng Tai International Sdn. Bhd. (Sheng Tai International) membuat pelaburan sebanyak RM8 juta bagi projek penyediaan ruang kerja global terbesar di dunia.
Pengasas dan Pengerusi Sheng Tai International, Datuk Leong Sir Ley berkata, projek itu akan dilaksanakan di Metrasquare, Ayer Keroh di sini dengan jenama Regus dan Spaces, dijangka bermula pada akhir tahun ini.
Katanya, jumlah itu bagaimanapun hanyalah merupakan nilai pelaburan permulaan membabitkan pelaksanaan tiga projek dengan kerjasama International Workplace Group (IWG).
“Kami percaya ini adalah masa yang tepat untuk melabur bertepatan dengan prospek optimis pasca Covid-19 dan pandemik ini perlu dipandang dari sudut positif.
“Justeru, kami telah bersetuju untuk mewujudkan industri ruang kerja yang fleksibel dengan pelaburan awal sebanyak RM8 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian di antara Sheng Tai International dan IWG yang disaksikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Rustam di Hotel Ames Ayer Keroh, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Sheng Tai International diwakili Pengasas dan Pengerusinya, Datuk Leong Sir Ley serta Pengarah, Collin Tan, manakala IWG diwakili Ketua Negara bagi Malaysia, Indonesia dan Brunei, Vijayakumar Tangarasan dan Ketua Pembangunan Perkongsian Malaysia, Premita Dhaliwal.
Mengulas lanjut, Sir Ley berkata, kerjasama yang terjalin dijangka dapat memperkasakan dan meluaskan industri ruang kerja fleksibel di Malaysia.
“Dalam keadaan ini, kami melihat ramai pekerja daripada syarikat berjenama global yang mahukan lokasi strategik untuk dijadikan ruang kerja fleksibel dan kami akan jadikan projek Metrasquare ini sebagai sebahagian daripada trend baharu ini.
“Dengan pembangunan unik serta dilengkapi kemudahan moden yang berkelas dunia, kami berada di dalam kedudukan terbaik untuk menarik perhatian usahawan dan syarikat multinasional yang cenderung kepada teknologi, seterusnya memperkasa semula ekonomi di Melaka dan kawasan sekitarnya,” katanya.