PETALING JAYA – Dek tidak mahu menggunakan pelakon lagak ngeri, pelakon Zahirah Macwilson terpaksa gigih menjalani latihan seni mempertahankan diri untuk menjayakan filem berjudul Bulan & Pria Terhebat (BPT).
Menurut Zahirah atau nama sebenarnya Nur Zahirah MacWilson Zainol, 26, dia sanggup mempelajari seni mempertahankan diri bagi melakonkan watak sebagai Bulan dan mengakui kekok untuk berbuat demikian.
“Mengimbas minggu pertama menjalani latihan untuk watak Bulan. Tak pernah buat seni bela diri sebelum ini, jadi memang kekok ketika latihan.
“Nasib baik ada jurulatih dari Indonesia (Abang Ali, Frankie dan pasukan) yang sangat profesional. Merekalah yang ajar Ira (panggilan Zahirah) bergaduh sebab dah cakap awal-awal tak mahu guna pelakon lagak ngeri. Jadi kena kerja keras,” katanya dalam Instagram.
Dalam hantaran tersebut, isteri kepada pelakon Aiman Hakim Ridza itu turut berkongsi beberapa buah video menunjukkan dia sedang menjalani latihan berdepan dengan ‘serangan musuh’.
Pada masa sama, Zahirah juga mengambil peluang untuk mempelajari Bahasa Indonesia bagi melancarkan dialognya dalam filem tersebut.
“Rindu saat ini. Waktu rehat belajar Bahasa Indonesia pula dengan jurulatih bahasa, Rully. Hari-hari berlatih dialog sampai dapat.
“Pasukan yang hebat dan setiap orang bekerja keras dalam kumpulan produksi,” katanya.
Selain Zahirah, Bulan & Pria Terhebat turut membariskan pelakon hebat lain seperti Maya Karin, Khir Rahman, Zizan Razak, Alif Hadi, Didie Alias dan Aprena Manrose. – K! ONLINE