SEREMBAN – Pertubuhan Kebajikan My Kasih Care tampil membantu sepasang suami isteri dan tiga anak mereka yang tidur dalam kereta untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Menurut Pengerusinya, Syed Shukri Nizam Jaafar, pertubuhan itu akan membantu keluarga berkenaan mencari tempat tinggal yang lebih selesa.
Kata beliau, pihaknya juga akan menyalurkan bantuan barangan keperluan harian kepada keluarga tersebut.
“Selain itu, kami akan menawarkan bantuan pekerjaan kepada ketua keluarga itu yang hilang pekerjaan sebelum ini.
“Bantuan yang diberikan ini bagi membolehkan keluarga itu dapat memulakan semula kehidupan selepas ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Jelasnya, seorang wakil penduduk Port Dickson juga telah tampil membantu keluarga itu bermalam di rumahnya.
“Dia (wakil penduduk) tidak sampai hati tengok anak-anak keluarga yang masih kecil tidur dalam kereta dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini,” ujarnya.
Semalam, Kosmo! menyiarkan kisah seorang lelaki, Rizal Che Majid, 40, bersama isteri dan tiga anak mereka mengambil keputusan untuk tidur di pantai Batu 4, di Port Dickson selepas dihalau keluar rumah sewa kerana gagal menjelaskan bayaran. -K! ONLINE