PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kilang YTY dan Asrama Pekerja di Sitiawan, Perak bermula 19 Mac 2021 hingga 1 April 2021.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.
“Sehingga 14 Mac 2021, KKM telah melaksanakan 162 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 60 kes positif telah direkodkan.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya pada sidang khas hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka bermula 20 Mac sehingga 2 April 2021.
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 602 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 27 kes positif C telah direkodkan.
“KKM mengesahkan masih berlaku peningkatan kes dalam kalangan penghuni sekolah terbabit dan terdapat baki 171 sampel ujian saringan sedang menunggu keputusan,” ujarnya. – K! ONLINE