CYBERJAYA – Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan beliau langsung tidak tahu menahu berkenaan isu dirinya disekat oleh penyanyi Aishah dalam Instagram seperti yang kecoh menerusi media sosial semalam.
“Saya baru tahu tentang isu ini selepas membaca berita mengenainya. Saya tidak tahu pun disekat sebab manalah sempat melayari Instagram. Sebelum ini saya cari pun tidak jumpa Instagram dia.
“Bagi saya tidak ada apa-apa isu kerana kadang-kala tersekat orang itu perkara biasa. Apa yang penting kita saling menghargai,” kata Siti yang mempunyai 8.1 juta pengikut dalam Instagram.
Terdahulu tindakan Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 56, menyekat akaun Instagram Siti mula disedari netizen selepas namanya tidak bertanda dalam satu status Instagram Siti pada Sabtu lalu iaitu sehari sebelum berlangsungnya Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35).
Perkara tersebut disedari ramai setelah Aishah dikecam bertubi-tubi oleh netizen yang tidak berpuas hati dengan persembahannya yang menyanyikan lagu Aku Bidadari Syurgamu nyanyian asal Siti pada separuh akhir muzik-muzik ke-35 akhir tahun lalu.
Penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu itu bagaimanapun menjelaskan, dia tidak sengaja berbuat demikian kerana keliru dengan banyak akaun palsu yang menggunakan nama Siti.
Selepas menyedari perkara tersebut, Aishah sudah tidak menyekat akaun Instagram Siti.
Dalam pada itu Siti, 42, yang kini sarat hamil lapan bulan berharap proses kelahiran anak keduanya berjalan dengan lancar pada bulan depan.
“Alhamdulillah saya sihat, anak dalam kandungan juga sihat. Doakan proses bersalin berjalan dengan mudah.
“Saya akan berpantang dan berharap pandemik akan segera selesai agar dapat bekerja seperti biasa selepas ini,” luah Siti yang ditemui pada majlis pelancaran single lagu kanak-kanak terbaharu, Medley Klasik Siti 1 dan produk minuman kesihatan Beaukids di Skyglass, di sini sebentar tadi.
Pada majlis sama, Siti turut meraikan sambutan ulang tahun puteri sulungnya Siti Aafiyah yang ketiga. – K! ONLINE