JOHOR BAHRU – Rakyat negara ini diminta bertenang dan meyakini institusi mahkamah yang menyelia proses undang-undang negara berhubung isu penggunaan kalimah Allah dalam kalangan masyarakat bukan Islam di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, perkara itu ketika ini masih belum dimuktamadkan, namun ia telah disensasikan segelintir pihak serta dijadikan isu politik.
“Di peringkat awal saya sudah beritahu ini merupakan satu kes yang sensitif dan ia telah disensasikan. Ia juga telah dijadikan kes politik.
“Selepas itu ada pihak yang salah gunakan kes ini seolah-olah ia menjadi satu kepentingan bagi satu agama untuk melawan satu lagi agama, ini tidak baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas berhubung tindakan seorang wanita yang mengeluarkan kata-kata berbaur penghinaan terhadap agama Kristian ekoran isu penggunaan kalimah ‘Allah’, beliau memberitahu, wanita itu telah dipanggil untuk memberi keterangan.
“Kata yang begitu pedih yang diluahkan dalam video tersebut menusuk hati satu pihak yang lain, itu saya katakan bawa bertenang, biarkan proses keadilan berjalan, berikan keyakinan kepada mahkamah, kerajaan sudah buat rayuan dan kita lihat apa hasilnya.
“Perbuatan wanita ini telah menarik banyak kritikan dan laporan dibuat, polis telah buka kertas siasatan dan dia telah dipanggil untuk dirakam kenyataan dan dinilai Pejabat Peguam Negara sama ada akan didakwa atau tidak,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau menasihati masyarakat agar bersabar kerana mana-mana pihak yang mempunyai idea pelampau hanya akan membawa kehancuran, paling utama kepada diri mereka sendiri.
“Sabar, semua pihak ada pendapat dan semua ingat mereka betul, jika begitu siapa yang hendak menjadi hakim.
“Jadi biarkan mahkamah tentukan, dan bila dibuat keputusan, kita terima. Jika masih tidak berpuas hati ia boleh didebat di Parlimen, boleh buat undang-undang baharu,” ujarnya.
Terdahulu, Polis Sarawak memaklumkan telah menerima sebanyak 37 laporan berhubung tindakan wanita yang mengeluarkan kata-kata penghinaan kepada agama Kristian dalam satu video yang kini tular di media sosial. – K! ONLINE