REMBAU – Kesemua pengguna aplikasi MySejahtera boleh mula mendaftarkan pemberian vaksin Covid-19 bagi golongan warga emas yang menjadi tanggungan mereka melalui pendaftaran tanggungan dalam aplikasi berkenaan bermula esok.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, buat masa ini pendaftaran bagi fasa dua pemberian vaksin masih lagi rendah.
“Esok kita akan perkenalkan kemudahan dalam MySejahtera iaitu pendaftaran tanggungan. Pendaftaran ini tertangguh seminggu sebab saya minta supaya aplikasi ini stabil sebelum dilancarkan.
“Saya difahamkan oleh pembangun aplikasi, esok dilancarkan pendaftaran tanggungan dalam MySejahtera dan orang ramai boleh mendaftarkan ibu bapa, datuk dan nenek mereka…lebih mudah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menerima suntikan vaksin Sinovas di Hospital Rembau di sini semalam.
Untuk rekod, media sebelum ini melaporkan pengguna MySejahtera boleh mula membuat pendaftaran untuk menyertai PICK sejak 23 Februari lalu menerusi aplikasi berkenaan.
Program imunisasi itu dilaksanakan menerusi tiga fasa, bermula dengan kumpulan barisan hadapan, disusuli kumpulan berisiko tinggi dan rakyat berusia 18 tahun ke atas.
Ia bagi memastikan antara 70 hingga 80 peratus rakyat negara ini menerima vaksin menjelang Februari 2022, sekali gus membentuk imuniti kelompok bagi mengekang penularan Covid-19.