KUALA LUMPUR – Seorang pemilik syarikat pembekal dan pembungkus minyak masak subsidi dan pembantunya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 28 pertuduhan tuntutan palsu berhubung pembekalan minyak masak kepada peruncit berjumlah RM618,058 dua tahun lalu.
Eng Wing Kuang, 52, dan pembantunya, Choy Lee See, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-28, Wing Kuang dan Lee See didakwa dengan niat bersama telah memberikan 28 set dokumen penyata Tuntutan Bayaran Kewangan Kepada Kilang Penapis/Pembungkus Minyak Masak Sawit Tulen yang mengandungi butiran palsu bagi tarikh antara 1 Februari 2019 dan 30 April 2020 kepada seorang kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Normawati Osman.
Tuntutan tersebut mengandungi butiran matan palsu iaitu resit berkaitan pembekalan minyak masak kepada peruncit oleh Nurfirman Sdn. Bhd. yang berjumlah RM1,527,807 yang mana kedua-dua tertuduh tahu RM618,058 daripada jumlah tuntutan tersebut adalah palsu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, KPDNHEP di Putrajaya antara 22 Feb 2019 dan 14 Mei 2020.
Bagi, kesemua kesalahan itu kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta SPRM.
Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap, dan jika butir matan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari SPRM Kamariah Seman menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah jaminan rendah dikenakan atas alasan syarikat Wing Kuang baru sahaja kembali beroperasi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain Lee See merupakan ibu tunggal.
Mahkamah kemudian membenarkan Wing Kuang diikat jamin RM50,000 manakala RM30,000 bagi Lee See dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan menyerahkan pasport ke mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri ke pejabat SPRM di Pahang sebulan sekali.
Tarikh 21 April ini ditetapkan untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE