PETALING JAYA – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menarik perhatian netizen apabila memuat naik sebuah video berucap dalam bahasa Mandarin selepas menerima suntikan vaksin Sinovac tadi.
Dalam video berdurasi 24 saat itu, melalui terjemahan, Khairy Jamaluddin berkata, dia baru sahaja menerima vaksin Sinovac dan mengatakan vaksin itu selamat.
“Saya baru sahaja disuntik vaksin Sinovac. Saya mahu maklumkan ia selamat. Saya rasa baik. China tiba-tiba menjadi lebih baik.
“Tidak kira apa jenis vaksin, ia adalah selamat. Mari kita sama-sama melawan virus ini. Lindungi diri anda, lindungi semua,” katanya.
Terdahulu, Khairy Jamaluddin merupakan individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 Sinovac dari China bersama 10 anggota barisan hadapan.
Vaksin Sinovac tiba di Malaysia pada 27 Februari menjadikannya bekalan kedua bagi vaksin Covid-19 dalam tempoh seminggu, selepas Pfizer-BioNTech diterima pada 21 Februari lalu. – K! ONLINE