JOHOR BAHRU – Kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas dibenarkan untuk menunaikan solat fardu dan Jumaat di masjid serta surau di seluruh negeri ini.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut bertitah solat fardu lima waktu dan solat Jumaat dibenar untuk diadakan mengikut kapasiti masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal.
Titah baginda, kebenaran itu akan berkuat kuasa bermula solat Subuh esok, sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
“Solat Jumaat di masjid dan surau yang diberikan kebenaran serta solat fardu lima waktu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah dibenarkan.
“Antara lain yang turut dibenarkan termasuklah kuliah dan membudayakan al-Quran, bacaan Yasin dan Tahlil, solat Hajat dan kanak-kanak berusia 7 tahun ke atas,” titah baginda dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sultan Ibrahim turut berkenan membenarkan solat terawih, tadarus al-Quran dan Qiamulail diadakan dalam tempoh bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.
“Jamuan berbuka puasa dan sahur turut dibenarkan namun makanan perlulah disediakan secara berbungkus, manakala aktiviti memasak di surau tidak dibenarkan.
“Pengagihan bubur lambuk sempena Ramadan ini juga dibenarkan,” titah baginda.
Ahli jawatankuasa masjid dan surau perlu bertanggungjawab bagi memastikan pengurusan dan pelaksanaan kesemua aktiviti yang dibenarkan itu dibuat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Antara SOP itu termasuklah penjarakan fizikal, pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera, memakai pelitup mulut dan hidung dan membawa sejadah sendiri. – K! ONLINE