LABUAN – Sebuah kapal tanker membawa muatan sebanyak 800,000 liter diesel disita Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan ekoran gagal mengemukakan lesen borong sah tempoh di perairan Teluk Brunei semalam.
Kapal tanker yang didaftarkan dengan nama Yuho Maru berkenaan dianggarkan bernilai keseluruhan RM4.8 juta termasuk muatan diesel berkenaan itu ditahan dalam rondaan kira-kira pukul 12 tengah hari.
Pegawai Pemerintah Markas PPM Labuan, Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata, pihaknya mengesan sebuah kapal tanker sedang bergerak di kawasan sasaran perairan ketika melakukan Op Benteng Covid dan Op Inter Agensi.
“Kapal berkenaan dikendalikan oleh seorang kapten bersama lapan kru berusia dalam lingkungan 20 hingga 73 tahun.
“Hasil pemeriksaan, kapten kapal didapati gagal mengemukakan sebarang lesen borong minyak diesel yang masih sah tempoh,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Saidul Maruf berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan bagi mengesan sebarang salah laku aktiviti laut di Perairan Pelabuhan Labuan sehingga ke Perairan Teluk Brunei.
Menurut beliau, operasi turut dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan.
Sementara itu, Saidul berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – K! ONLINE