PETALING JAYA – Polis menafikan satu rakaman suara yang tular di aplikasi WhatsApp berhubung dakwaan tindakan saman kerana memakai cermin mata gelap ketika memandu.
Menerusi rakaman suara berkenaan, perakam suara mendakwa telah disaman sebanyak RM500 atas kesalahan memakai cermin mata gelap ketika melalui sekatan jalan raya.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, pihaknya menegaskan dakwaan tersebut adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.
“JSPT terdahulu telah mengesan satu rakaman suara yang tular di aplikasi WhatsApp yang menyatakan polis akan mengenakan tindakan saman sebanyak RM500 dan tiada kompaun sekiranya memakai cermin mata gelap ketika memandu.
“Tiada peruntukan undang-undang yang menyatakan memakai cermin mata gelap semasa memandu kenderaan adalah satu kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, JSPT menggesa orang ramai untuk menghentikan sebarang penyebaran mesej tidak benar dan sentiasa memastikan kesahihan sesuatu mesej sebelum dimuat naik atau dikongsikan di laman sosial. – K! ONLINE.