KUALA NERUS – Melaka United (MU) terus buntu untuk melakar kemenangan sulung apabila terikat 1-1 dengan Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.
Keputusan seri itu merupakan keempat berturut-turut dicatatkan MU sejak awal musim ini manakala rekod bersih kemenangan 100 peratus TFC sebelum ini tercalar .
Begitupun, TFC kendalian Mohd. Nafuzi Zain kekal di tangga kedua liga dengan berkongsi 10 mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) manakala MU di tangga kelapan dengan empat mata.
MU yang dibimbing pengendali berpengalaman, Zainal Abidin Hassan hanya memerlukan tiga minit untuk mengejutkan tuan rumah berpunca bola hantaran S. Kumaahran yang terkena tangan Shahrul Nizam Ros Hasni di dalam kotak penalti.
Kesempatan itu tidak disia-siakan penyerang import, Alex Goncalves untuk menyempurnakan penalti dengan melakukan rembatan kencang dari jarak 12 ela menewaskan penjaga gol TFC, Rahadiazli Rahalim.
Jaringan itu telah menaikkan selera MU untuk menambah tekanan menerusi gerakan berbahaya Sony Norde namun berjaya ditepis Rahadiazli pada minit ke-15.
Seminit berselang, Norde sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada TFC tetapi Rahadiazli kali ini lebih bersedia menafikan percubaan lencong pemain kelahiran Haiti itu.
Pintu gol MU yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat pula hanya diuji pada minit ke-33 melalui sepakan percuma Makan Konate yang tersasar ke sebelah tepi.
TFC terpaksa akur ketinggalan satu gol sehingga waktu rehat selepas rembatan jarak jauh Nik Akif Syahiran Nik Mat (m-36) tepat ke dakapan Khairul Fahmi.
Wisel babak kedua ditiup dengan TFC membuat tiga pertukaran pemain untuk memperkemaskan jentera tengah dan usaha itu telah membuahkan hasil pada minit ke-66.
Jordan Mintah bijak melepasi kawalan Jang Sukwon dan menyudahkan hantaran pendek Marcel N’Guessan untuk menyamakan jaringan 1-1.
MU nyaris mendapat gol kemenangan namun tolakan pemain gantian, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-78 di depan pintu gol sekadar melambung tinggi memaksa kedudukan kekal sehingga tamat. – K! ONLINE