KETUA jurulatih Penang FC, Tomas Trucha memuji semangat yang dipamerkan oleh pasukan UiTM FC selepas berjaya menghalang pasukannya daripada meraih kemenangan apabila mencatat keputusan seri tanpa jaringan pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang kelmarin.
Kata Trucha, skuad pelawat yang dikendalikan oleh Frank Bernhardt itu memberi tekanan kepada anak-anak buahnya sehingga mempamerkan aksi di bawah tahap sebenar sekali gus gagal memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri.
“Pada separuh masa pertama, pasukan UiTM beraksi dengan cukup baik tetapi memasuki babak kedua, saya dapat lihat mereka semakin agresif dan saya faham situasi itu kerana mereka begitu inginkan kemenangan.
“Namun, saya tidak katakan mereka mendominasi perlawanan seterusnya kerana barisan pemain kami mendapat beberapa peluang tetapi tidak dimanfaatkan sebaiknya.
“Meskipun keputusan seri ini bukanlah yang saya sukakan, ia adalah keputusan adil buat kedua-dua pasukan dan saya mahu semua pemain bekerja keras untuk kembali berada di landasan kemenangan selepas ini,” katanya.
Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Republik Czech itu mahu penyerang import sensasi, Casagrande memperbaiki penyudah menjelang aksi liga seterusnya bertemu Selangor FC pada Sabtu nanti.
“Saya sedar Casagrande sudah bekerja keras, cuma memang nasib tidak menyebelahinya untuk menjaringkan gol, tetapi saya percaya dia akan lebih baik selepas ini untuk bantu pasukan,” kata Trucha.