ANIMASI Doraemon mempunyai sejarah panjang. Karakter utama kucing robot yang barangkali paling popular di dunia bernama Doraemon telah bersama dengan kebanyakan daripada kita sejak sekian lama, apatah lagi hikayatnya sudah memasuki usia jubli emas.
Naskhah terbaharu francais animasi berkenaan yang berjudul Stand By Me Doraemon 2 kini sedang berlegar di pawagam.
Watak seorang budak lelaki pemalas bernama Nobita dan Doraemon mempunyai nilai yang sangat sentimental buat jutaan khalayak.
Tidak terkecuali membesar dengan animasi asal Jepun tersebut, penulis tidak malu mengakui, ada air mata tumpah saat menonton animasi karya Ryuichi Yagi dan Takashi Yamazaki tersebut tempoh hari.
Sedikit tentang elemen teknikal, aspek 3D animasinya barangkali ada beberapa ruang yang boleh diperbaiki. Berbanding karya Disney seperti Frozen, Stand By Me Doraemon 2 mungkin sedikit ketinggalan.
Jika menerusi Frozen, kita boleh nampak sehalus-halus perkara seperti kostum dan biji mata Elsa umpama ‘bernyawa’, penulis kurang pasti dengan aspek kualiti sebegitu dalam Doraemon kali ini.
Runtun jiwa
Bagaimanapun, gambaran masa depan yang dibangunkan untuk naskhah kali boleh disifatkan luar biasa. Imej kenderaan terbang boleh memberi harapan buat dunia yang kini tenat dilanda bermacam bencana.
Penceritaan Stand By Me Doraemon 2 sebenarnya sedikit berkecamuk. Sekejap berada pada masa lampau dan seketika kemudian ke masa hadapan, semua itu membuatkan fokus penonton mudah terganggu.
Untuk terus terikat dengan mood, tumpuan harus diberikan sepenuhnya.
Berbalik terhadap elemen air mata, hubungan antara Nobita dan mendiang neneknya sangat berbekas.
Bayangkan orang yang anda sayang sudah tiada lagi dunia, namun anda diberi peluang bertemu dengannya dan menjadikan mimpi jadi nyata.
Babak ketika Nobita hampir ‘mati’ disebabkan kesuntukan masa atas satu sebab sangat peribadi buat penulis.
Menyaksikan perkembangan karakter Suneo dan Gian juga mampu mencetuskan rasa ‘jiwang’.
Babak Nobita bertemu cinta hati yang akhirnya disatukan menjadi satu lagi babak yang boleh meruntun jiwa penonton.
Barangkali ada yang berpendapat ‘sekadar cerita kartun’, namun percayalah, ini bukan sekadar kartun, ini Doraemon.