fbpx

Pegawai imigresen dijel 10 hari, denda RM10,000 terima suapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh membuat pengakuan atas pertuduhan pilihan itu selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Madihah Hairullah.

SEREMBAN – Seorang pegawai imigresen dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima suapan RM3,950 bagi melepaskan warga asing negara China daripada sebarang tindakan, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Jeffry Mohd. Zin, 32, yang juga Pegawai Imigresen Gred KP19 membuat pengakuan atas pertuduhan pilihan itu selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Madihah Hairullah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas di Bahagian Kawalan Imigresen, Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) didakwa menerima wang suapan RM3,950 daripada orang tengah yang mengurus kemasukan warga asing dari China.

Wang tunai itu didakwa dimasukkan menggunakan mesin deposit tunai ke dalam akaun pihak ketiga bagi melepaskan warga asing negara China daripada sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan itu dilakukan di CIMB Islamic Bank Berhad cawangan Taman Semarak di Nilai, Negeri Sembilan pada 3 Januari 2019.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (2) akta sama.

Mahkamah kemudian menetapkan Mohamad Jefry dijatuhi hukuman penjara 10 hari bermula hari ini dan denda RM10,000, jika tertuduh gagal membayar denda tertuduh dikenakan penjara 12 bulan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak pelbagai aset berjumlah RM449,658 termasuk wang tunai, dua buah kereta dan dua buah motosikal.

Dua buah kereta yang dilucut hak tersebut ialah Volkswagen dan BMW. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI