BUAT julung-julung kalinya, saluran sukan terkemuka tempatan, Astro Arena dengan kerjasama akhbar Kosmo! menganjurkan program Arena in Real Life di ibu pejabat Media Mulia Sdn. Bhd., Tingkat 5, Quattro West, Petaling Jaya, Selangor.
Arena in Real Life merupakan program bulanan yang dianjurkan oleh pihak Astro Arena dalam usaha mengeratkan hubungan antara stafnya.
Program yang berlansung selama empat jam itu melibatkan lima petugas di Astro Arena dan seorang petugas Kosmo!.
Sepanjang program berlangsung, pihak Astro Arena turut membuat penggambaran video untuk dimuatkan dalam platformnya, sekali gus membantu mempopularkan lagi saluran berkenan.
Penyelaras program, Rueben Thevandran memaklumkan, Arena in Real Life adalah sebuah program yang menceritakan kehidupan sebenar staf-staf Arena apabila mempunyai masa lapang.
Dia memberitahu, setiap kali mempunyai masa terluang di pejabat, mereka banyak menghabiskan masa dengan bermain permainan dan ia diterjemahkan dalam program tersebut.
“Program ini memasuki penganjuran kali ketiga. Program ini melibatkan staf kami daripada pelbagai lapangan sama ada pengacara, jurukamera, juruaudio, pekerja dalaman dan pegawai atasan.
“Sejak dianjurkan, program ini sentiasa mendapat maklum balas positif daripada staf-staf.
“Kami juga merakam video sepanjang program berlangsung untuk dimuat naik dalam kandungan YouTube,” katanya ketika ditemu bual Horizon baru-baru ini.
Pada kali ini, program berkenaan mengangkat permainan Battle Royal yang berkisar mengenai pertempuran antara dua kumpulan di medan perang.
Rueben atau lebih dikenali sebagai Burn berkata, permainan Battle Royal melibat dua kumpulan dengan masing-masing dibarisi oleh tiga orang peserta.
Tegasnya, setiap peserta diikatkan dengan sebiji belon pada badan masing-masing yang berperanan sebagai nyawa serta senjata untuk membunuh pihak lawan.
“Sekiranya belon berkenaan pecah, pemain dianggap ‘mati’. Pemain perlu mencari belon ganti yang diletakkan di dalam medan perang untuk kembali beraksi.
“Selain membunuh pihak lawan, peserta juga ditugaskan untuk mencari barang-barang tersembunyi di sekitar ruang permainan seperti baju bit, jaring dan bola jaring.
“Pasukan yang berjaya kekal hingga ke akhir berserta lengkap dengan barang yang perlu dicari akan diangkat sebagai pemenang,” ujarnya.
Burn menambah, pihaknya sengaja memilih barangan berkaitan bola jaring pada aktiviti Battle Royal sebagai sebagai daripada usaha mempromosikan Liga Super Bola Jaring (NSL) 2021 yang akan bermula tidak lama lagi.
Salah seorang peserta yang juga pengacara Astro Arena, Norhalizah Hamzah, berkata, aktiviti Battle Royal sangat menyeronokkan kerana dapat melakukannya bersama rakan-rakan.
Gadis berusia 27 tahun itu menambah, program berkenaan juga membantu dirinya mengenali dengan lebih dekat personaliti rakan-rakan sekerja terutamanya ketika berada dalam situasi tertekan.
“Aktiviti seperti ini sangat menyeronokkan kerana ia berbeza daripada rutin harian kami di pejabat setiap hari. Sepanjang aktiviti ini, kami dapat melupakan seketika perihal berkaitan kerja, sekali gus mengurangkan tekanan.
“Battle Royal juga memberi peluang kepada saya untuk mengenali dengan lebih rapat rakan-rakan. Di sinilah, saya dapat mengetahui personaliti seseorang itu sama ada kelakar, serius atau pentingkan diri sendiri,” tegasnya.
Norhalizah turut memberitahu, aktiviti Battle Royal juga dapat membantu dirinya bersenam selepas sekian lama tidak berbuat demikian disebabkan komitmen tugas pada setiap hari.
Jelasnya, aktiviti banyak menggunakan pergerakan fizikal memandangkan para peserta perlu berlari mengejar pihak lawan atau menyelamatkan diri apabila kehabisan peluru di medan perang.
“Sebagai pekerja di sebuah stesen televisyen, saya sentiasa sibuk untuk membuat liputan dan mencari berita terkini kepada para penonton. Ini membuatkan kami tidak ada masa untuk melakukan aktiviti senaman,” katanya.
Pihak Astro Arena sengaja memilih ibu pejabat Media Mulia sebagai lokasi permainan sebagai simbolik kepada kerjasama dua entiti tersebut dalam menjayakan penganjuran pada NSL 2021.
Bagi wakil Kosmo!, Hazwan Harul pula berkata, dia sangat teruja dapat bermain Battle Royal bersama dengan kakitangan Astro Arena.
Jelasnya, aktiviti berkenaan memberi kesempatan kepadanya untuk lebih mesra dengan staf Astro Arena yang akan sama-sama membuat liputan mengenai NSL.
“Ini kali pertama saya main aktiviti sebegini di dalam ruang pejabat Kosmo!. Ia satu pengalaman yang menarik. Paling penting berkenal-kenalan dan mengeratkan silaturahim dengan kakitangan Astro Arena,” katanya.