PETALING JAYA – Seorang pemandu ambulans berdepan detik cemas selepas kenderaan dipandunya tiba-tiba terbakar sebaik menurunkan penumpang di hadapan Bangunan Institut Urologi dan Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini semalam.
Pengarah HKL, Datuk Dr. Heric Corray berkata, kejadian kebakaran berlaku kira-kira pukul 7.44 malam membabitkan sebuah unit ambulans.
“Kebakaran disedari oleh pemandu ambulans berkenaan selepas menghidu bau asap sebaik menurunkan penumpang di bangunan tersebut.
“Pemandu berkenaan terus mematikan enjin dan beredar keluar dari kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, bantuan segera daripada Polis Bantuan yang bertugas di kawasan berhampiran telah berjaya memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api kira-kira pukul 7.50 malam.
Sementara itu, Komander Operasi kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Pegawai Bomba Kanan II Hamdan Samad berkata, hasil pemeriksaan mendapati kebakaran berlaku pada bahagian pendawaian di ruangan enjin.
“Kemusnahan kebakaran dianggarkan sebanyak 20 peratus dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 8.28 malam dan punca kejadian masih dalam siasatan,” ujarnya. – K! ONLINE