PETALING JAYA – Polis menahan lima lelaki tempatan disyaki terlibat dengan kumpulan kongsi gelap 36 di lima lokasi serbuan yang berbeza.
Sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dan Balai Polis Brickfields melakukan serbuan pada pukul 9 malam semalam hingga 2.30 pagi awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Assisten Komisioner Anuar Omar berkata, polis menerima dua laporan berhubung kes melibatkan video perarakan pengebumian mayat seorang lelaki India dengan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mempunyai logo kumpulan 36 membawa mayat seorang lelaki untuk upacara pengebumian.
Katanya, laporan dibuat oleh seorang Pegawai Kanan Polis pukul 6.30 petang semalam setelah dia melihat satu video berdurasi 36 saat di aplikasi WhatsApp, menunjukkan sebuah van yang mempamerkan gambar seorang lelaki dan logo lambang disyaki kumpulan kongsi gelap 36.
“Van tersebut dipercayai membawa mayat lelaki berbangsa India untuk upacara pengebumian di sebuah kondominium di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
“Selepas itu, laporan kedua dibuat oleh seorang Pegawai Kanan Polis berkaitan isu yang sama menyatakan terdapat satu video tular berdurasi 58 saat menunjukkan van yang mempunyai gambar seorang lelaki India dan logo lambang kumpulan Kongsi Gelap 36,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, terdapat juga video lain berdurasi 14 saat yang tular dan menunjukkan seorang lelaki India membakar mercun di tengah Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur.
“Susulan daripada itu, polis melakukan serbuan di lima lokasi berbeza dan menahan lima lelaki tempatan. Kelima-lima suspek tersebut berusia dalam lingkungan 18 hingga 26 tahun dan seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
“Polis turut merampas, tiga buah kereta jenis Toyota Velfire, Toyota Camry serta Honda Civic; sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135; satu kalung bunga dan sejambak bunga yang digubah berbentuk lambang angka 36,” ujarnya
Dalam pada itu, katanya, hasil siasatan awal, polis mendapati suspek dan si mati adalah kawan sejak kecil dan si mati pernah memberi satu pesanan supaya membakar mercun jika si mati meninggal dunia,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – K! ONLINE