fbpx

Pegawai rasuah tiada tempat di JPJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lima individu termasuk tiga penguat kuasa JPJ diiring masuk ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk mendapatkan perintah reman berhubung kes rasuah semalam. – ZULFACHRI ZULKIFLI

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai manifestasi jelas dalam membersihkan unsur negatif yang ada dalam pihak berkuasa itu daripada sebarang elemen salah guna kuasa serta gejala rasuah membabitkan anggota dan pegawainya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, dua elemen itu membawa implikasi buruk hingga boleh mengakibatkan ketirisan kepada hasil negara.

Tegasnya, penahanan 32 pegawai JPJ menerusi Ops Sukat di lima negeri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin merupakan mesej jelas bahawa pucuk pimpinan tidak akan berkompromi dengan apa juga salah laku.

“Perbuatan ini secara tidak langsung telah mencalarkan imej JPJ. Isu salah laku sebegini akan terus dipantau dan diambil tindakan segera dari semasa ke semasa.

“Mana-mana warga jabatan yang bersekongkol dengan pihak luar bersangkutan aspek integriti akan dikenakan tindakan tegas,” katanya ketika dihubungi.

Anggota SPRM membawa pegawai JPJ yang ditahan untuk direman
di Kompleks Mahkamah Alor Setar, Kedah semalam

Tambahnya, tindakan bersama SPRM itu diambil sebagai usaha untuk menangani isu ra­suah, penyelewengan dan integriti di JPJ.

Menurut Zailani, tindakan itu juga menjadi satu manifestasi jelas bahawa JPJ tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan reputasi dan nama baik jabatan.

“JPJ akan sentiasa komited dalam meneruskan kerjasama padu dengan pihak SPRM agar langkah pematuhan dan ketelusan dalam proses kerja jabatan.

“Ini demi mengelakkan daripada berlakunya sebarang kegiatan yang tidak bermoral seperti isu salah laku dan masalah integriti pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Zailani memaklumkan penahanan pegawai daripada bahagian pemeriksaan kenderaan itu tidak akan menjejaskan operasi harian JPJ dan pihaknya berterima kasih kepada anggota yang terus ikhlas dalam menjalankan tugas.

Kegiatan 32 pegawai JPJ menerima sogokan sebanyak RM1.64 juta sejak 2019 untuk melindungi lori melanggar syarat terbongkar apabila ke­semua mereka diberkas dalam operasi besar-besaran di lima negeri kelmarin.

Suspek-suspek daripada Gred 17 hingga 48 berusia dalam lingkungan 30 hingga 60 tahun itu diberkas dalam Ops Sukat . Selain pegawai JPJ, SPRM turut memberkas 12 individu lain termasuk anggota dan bekas anggota polis trafik.

Mereka disyaki melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal.

Sumber berkata, sebanyak 11 individu ditahan di Kedah, Pulau Pinang (9), Perak (12), Perlis (1) dan Melaka (11). Penahanan meliputi pegawai JPJ, anggota polis, bekas anggota polis dan orang awam.

Katanya, orang awam itu menjadi proksi untuk memasukkan wang habuan ke dalam akaun mereka untuk diserahkan kepada pegawai penguat kuasa.

“Modus operandi mereka ialah melepaskan lori-lori yang melakukan kesalahan jalan raya selepas menerima sogokan antara RM150 hingga RM3,000 setiap bulan dengan nilai keseluruhan RM1.64 juta,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI