PETALING JAYA – Cef selebriti tersohor negara, Cef Wan mahu anak sulungnya, Serina Redzuawan, 38, dan teman lelakinya mengenali hati budi masing-masing sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.
Menurutnya, dia bukan mahu menghalang anaknya berkahwin dengan penjawat awam berusia 35 tahun itu, namun trauma dengan kegagalan perkahwinan pertama Serina.
Katanya, dia telah berjumpa dengan teman lelaki Serina yang dikenalinya setahun lalu dan mereka memaklumkan mahu bernikah sebelum Aidilfitri.
“Sabarlah dahulu, jika nak kahwin pun and get to know each other first! (kenal dulu keburukan masing-masing. Sekarang orang muda nak kahwin macam (beli) kacang putih.
“Lepas tak suka bercerai macam tukar pakaian isteri itu. Yang menanggung segala drama, malu ialah keluarga,” luahnya dalam laman Instagramnya semalam.
Cef Wan atau nama sebenarnya, Redzuawan Ismail menyifatkan bakal menantunya itu sebagai seorang lelaki yang baik tetapi masih memerlukan masa untuk mengenali hati budinya kerana lelaki itu juga seorang duda.
“Hanya Allah yang tahu isi hati saya sebagai seorang bapa. Kali ini, saya mahu Serina berfikir masak-masak sebelum membuat keputusan.
“Belajar bersabar, u both and take some time to get to know one another (ambik masa untuk kenal sesama sendiri). Jangan
ingat gatal nak kawin tapi tak fikir apa yang saya nasihat.
“Hendak kahwin dengan keluarga yang dikenali bukan perkara mudah. Saya perlu lebih berhati-hati kerana pengalaman lalu masih menghantui,” jelasnya.
Sebelum ini, Serina pernah mendirikan rumah tangga dengan Gavin Edward OLuanaigh pada 1 Januari 2010 namun berpisah pada 1 Ogos 2017.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Tristan Tareef, 11 dan Isabella Saffuya berusia 10 tahun.