JAKARTA – Perceraian antara sepasang suami isteri di Indonesia gagal menjadi jalan penyelesaian tetapi menyebabkan sengketa antara mereka semakin buruk apabila kedua-duanya berbalah tentang harta sepencarian.
Lelaki tersebut yang dikenali sebagai Kusnan, 50, dikatakan tidak mampu membayar harta sepencarian berjumlah 30 juta rupiah (RM8,569) seperti dituntut bekas isterinya.
Akibat berang, wanita itu mengupah beberapa lelaki untuk merobohkan rumah bekas suaminya yang terletak di mukim Trowulan dalam wilayah Jawa Timur baru-baru ini, lapor portal beritaSuara.com.
Rumah yang dirobohkan pada Ahad lalu itu didiami oleh Kusnan bersama isteri baharu dan dua anaknya.
Kusnan berkata, rumahnya dirobohkan atas persetujuan bersama dengan bekas isterinya sebagai syarat jika dia gagal melunaskan bayaran harta sepencarian tersebut.
Kusnan terpaksa bersetuju rumah itu dirobohkan kerana tidak mampu membayar jumlah yang diminta bekas isterinya.
“Saya dipanggil ke dewan perbincangan kampung bagi membincangkan tuntutan bekas isteri.
“Bagaimanapun, saya tidak mempunyai wang sebanyak itu dan bekas isteri kemudian meminta rumah itu dirobohkan sahaja,” katanya.
Tambah Kusnan, rumah tersebut sudah diwariskan kepada anak sulung hasil perkahwinan dengan bekas isterinya dan dia kesal kerana kediaman tersebut telah dirobohkan.
Lebih menyedihkan, dia dan isteri baharunya terpaksa membina pondok kecil di sebelah tapak rumahnya yang roboh sebagai tempat tinggal.
“Saya tidur di pondok itu bersama isteri dan ia sangat sempit,” kata Kusnan. – Agensi