PUTRAJAYA – Resolusi, usul dan pandangan yang dicapai pada mesyuarat khas bersama mufti-mufti berhubung isu kalimah Allah hari ini akan disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi hantaran di Facebook hari ini selepas selesai Munaqasyah Khas Isu-Isu Semasa Mufti-Mufti Seluruh Malaysia dan Alim Ulama Berkaitan Isu Kalimah Allah yang berlangsung hari ini.
Menurutnya, segala usul dan resolusi yang dicapai pada mesyuarat khas itu akan disampaikan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.
“Insya-Allah setelah menerima titah perkenan daripada Majlis Raja-Raja, resolusi tersebut akan dimaklumkan,” katanya.
Menurutnya, beliau merakamkan sekalung penghargaan atas komitmen dan kesungguhan Ashabus Samahah Mufti-Mufti dan para alim ulama yang dijemput bagi menyampaikan buah fikiran masing-masing.
Zulkifli berkata, umat Islam di negara ini diseru untuk terus bersatu hati bagi memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan dengan ilmu, iman dan amal.
“Keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia akan terus menjadi teras pembangunan negara yang kita cintai bersama,” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain iaitu solat, Kaabah dan Baitullah dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.
Keputusan itu bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi khususnya umat Islam di negara ini.-K! ONLINE