Jenayah boleh didefinisikan sebagai satu perbuatan yang menyalahi undang-undang dan boleh terjadi ke atas semua lapisan masyarakat tanpa mengira pangkat, usia dan latar belakang.
Tiga unsur utama kejadian jenayah dikenal pasti iaitu penjenayah, mangsa dan peluang yang nampak ringkas, namun sering kali dipandang ringan atau tidak dipedulikan oleh masyarakat.
Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd. Rahim berkata, jenayah merupakan insiden yang boleh dielakkan sekiranya kita membuat penilaian risiko terhadap beberapa perkara seperti persekitaran dan siapa individu kita berurusan.
“Tidak dinafikan jenayah berlaku secara tiba-tiba dan tidak disangka, namun sekiranya kita peka dan berjaga-jaga kejadian itu dapat dielakkan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Menurut beliau, masyarakat juga perlu menanam rasa curiga bagi mengelakkan mereka dengan mudah menjadi mangsa jenayah seperti ragut, tipu dan lain-lain.
“Rata-rata kita dibesarkan dengan pesanan agar sentiasa bersangka baik, sebagai orang Islam ia adalah sesuatu yang baik. Namun tak salah sekiranya kita tanamkan sedikit rasa curiga kerana secara tidak langsung akan menjadikan kita lebih peka.
“Sering kali selepas satu kejadian jenayah itu berlaku kita akan dengar keluhan mangsa seperti ‘aku sepatutnya sudah dapat agak’ atau ‘jika aku tidak lalu kawasan itu mungkin ia tidak akan berlaku’ kerana perkara itu dapat dielakkan sekiranya penilaian awal dibuat,” ujarnya.
Shahul Hamid memberitahu, kemahiran membuat penilaian risiko bukanlah satu kepakaran yang perlu dilatih, namun ia perkara asas dalam kehidupan terutama pada zaman mencabar ketika ini.
Seorang mangsa yang ditemu bual penulis baru-baru ini berkongsi pengalaman dan langkah yang sepatutnya diambil semasa menjadi tahanan penjenayah selama lima hari.
Muhammad Amirul Shafiq Sudirman, 25, yang juga penjual telefon bimbit hilang selepas keluar melakukan penghantaran barang (COD) kepada pelanggan.
Cerita Muhammad Shafiq, kejadian itu mungkin tidak berlaku sekiranya dia mengambil langkah berjaga-jaga seperti tidak bergerak seorang diri di tempat sunyi.
“Sepatutnya proses COD itu dilakukan bersama rakan, namun dia terpaksa tarik diri di saat akhir kerana ada urusan lain. Ketika itu, saya teruskan juga niat menghantar telefon bimbit kerana pernah tertangguh sebelum ini.
“Setibanya di lokasi yang dijanjikan, suspek yang meminta supaya kami bertemu di kawasan letak kereta kerana bimbang dilihat orang dengan alasan dia membawa wang tunai yang banyak itu sepatutnya menjadi petanda akan berlaku sesuatu yang tidak baik,” katanya.
Jelas lelaki itu, pengalamannya tersebut mengajar dia agar lebih berhati-hati pada masa hadapan.
“Saya ingin berpesan kepada semua agar tidak mudah mempercayai terutama individu yang tidak dikenali dan sentiasa melihat tanda-tanda peluang yang mungkin memberi kelebihan kepada penjenayah untuk melakukan jenayah.
“Kepada peniaga, sekiranya ingin membuat COD pastikan lokasi yang dipersetujui adalah tempat awam dengan orang yang ramai agar sekurang-kurangnya ada saksi sekiranya berlaku sesuatu kes dan tidak sesekali pergi seorang diri kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku,” katanya.