PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan prosedur operasi standard (SOP) bagi Upacara Cheng Beng/Qing Ming di tanah perkuburan dan kolumbarium ditetapkan bermula 20 Mac hingga 18 April ini.
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi satu kenyataan akhbar berkata, perkara itu dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menteri Kanan (Keselamatan) Bil. 11 Tahun 2021 hari ini yang dipengerusikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
KPN berkata, kerajaan menetapkan upacara itu akan bermula 14 hari sebelum iaitu pada 20 Mac hingga 4 April dan 14 hari selepas iaitu pada 5 April hingga 18 April ini.
“SOP itu ditetapkan bagi negeri-negeri di bawah tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP),” katanya.
KPN berkata, pihaknya menjalankan siri konsultasi pada 11 dan 12 Mac lalu bersama Pertubuhan Agama dan Persatuan Pengurusan Kubur Cina serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi penyediaan SOP berkenaan.
“Bagi upacara Cheng Beng/Qing Ming di tanah perkuburan, kerajaan menetapkan bilangan kehadiran ahli keluarga dan keluarga terdekat tidak melebihi enam orang pada satu-satu masa.
“Tempoh masa upacara mulai pukul 5 pagi hingga 6 petang, tempoh upacara selama 90 minit dan aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan,” katanya.
Sementara itu, bagi upacara Cheng Beng/Qing Ming di kolumbarium pula, KPN menetapkan bilangan kehadiran ahli keluarga dan keluarga terdekat tidak melebihi 10 orang pada satu-satu masa di kawasan PKP.
KPN berkata, bagi kawasan PKPB, bilangan kehadiran ahli keluarga dan keluarga terdekat tertakluk kepada 50 peratus saiz ruang kolumbarium dengan penjarakan fizikal dan tempoh masa upacara mulai 5 pagi hingga 6 petang.
Katanya, bagi negeri-negeri di bawah PKPP, bilangan kehadiran ahli keluarga dan keluarga terdekat mengikut saiz ruang kolumbarium dengan penjarakan fizikal.
“SOP lain yang terpakai di kawasan PKP, PKPB dan PKPP bagi upacara itu ialah tempoh masa upacara mulai pukul 5 pagi hingga 6 petang, tempoh upacara selama 60 minit dan diselangi dengan kerja- kerja sanitasi selama 30 minit serta larangan aktiviti rentas negeri,” katanya.-K! ONLINE