PUTRAJAYA – Keputusan ujian saringan Covid-19 yang dijalankan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari kelima Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) setelah beliau kembali dari lawatan rasmi ke Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini disahkan negatif.
Perkara itu disahkan Muhyiddin sendiri menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasmi beliau selepas menerima keputusan ujian calitan Covid-19 itu hari ini.
“Semalam saya telah menjalani ujian calitan Covid-19 pada hari kelima HSO setelah kembali dari lawatan rasmi di Arab Saudi dan UAE.
“Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT, hari ini, hari kuarantin yang keenam, saya telah mendapat keputusan ujian saringan tersebut dan disahkan negatif,” katanya.
Muhyiddin berkata, beliau dan delegasi tiba di Kuala Lumpur dari Abu Dhabi pada pukul 9.34 malam, 11 Mac lalu.
“Setibanya di Pangkalan Tentera Udara Subang, saya dan seluruh delegasi telah diberikan HSO untuk tempoh tujuh hari dan dipakaikan gelang pengawasan,” katanya.
Tambah Muhyiddin, beliau dan delegasi telah menjalani sebanyak lima ujian calitan Covid-19 sepanjang lawatan rasmi enam hari di Arab Saudi dan UAE.
“Ia bagi memastikan risiko jangkitan virus tersebut ke atas saya dan delegasi sentiasa dipantau,” katanya.
Pada 6 Mac lalu, Muhyiddin mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi sebagai memenuhi jemputan khas daripada negara itu sebelum meneruskan lawatannya ke UAE dari 9 hingga 11 Mac lalu.
Lawatan rasmi itu adalah lawatan pertama Perdana Menteri ke Arab Saudi dan UAE sejak beliau dilantik pada 1 Mac tahun lalu. -K! ONLINE